SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI...JOM KONGSI ILMU...

Tuesday, 24 July 2012

KELAS BERCANTUM


KELAS BERCANTUM

Kelas bercantum merupakan kelas yang unik yang mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Di antara konsep dan ciri-ciri kelas bercantum yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah umur murid- murid dalam sesebuah kelas bercantum berlainan mengikut tahun persekolahan mereka. Sebagai contoh, sebuah kelas yang mencantumkan murid-murid Tahun 1 dan 2 adalah dalam lingkungan tujuh hingga lapan tahun. Percantuman murid-murid mengikut umur yang hampir sama ini dilakukan bagi memudahkan guru melaksanakan proses pengajaran dan pelajaran di dalam kelas bercantum.
Bilangan murid dalam satu tahun persekolahan pula tidak melebihi 14 orang. Bilangan kelas bercantum akan ditentukan dengan membuat pertimbangan berdasarkan bilangan murid dalam setiap tahun persekolahan. Sekiranya jumlah murid dalam tiga tahun persekolahan tidak melebihi 14 orang murid, maka tiga tahun persekolahan dicantumkan dalam sebuah kelas bercantum.
Selain itu, biasanya seorang guru ditugaskan mengajar murid-murid  daripada dua atau tiga tahun persekolahan secara serentak dalam sebuah kelas yang sama. Namun, kriteria percantuman kelas juga bergantung kepada bilangan tenaga pengajar yang sedia ada. Sebagai contoh, sebuah sekolah yang mempunyai 3 orang guru boleh mencantumkan murid-murid daripada tiga tahun persekolahan bagi membentuk sebuah kelas bercantum. Manakala, sebuah sekolah yang mempunyai 4 atau 5 orang guru pula boleh mencantumkan murid-murid daripada dua tahun persekolahan dalam sebuah kelas. Namun, biasanya, bilangan guru dalam sekolah yang mempunyai kelas bercantum tidak melebihi 5 orang kerana peruntukan guru adalah mengikut nisbah bilangan kelas yang terdapat disesebuah sekolah berkenaan.
Ciri seterusnya bagi kelas bercantum ialah strategi pengajaran dan pembelajarannya yang tersendiri dan berbeza daripada kelas biasa di mana, semasa guru mengajar murid-murid dalam satu tahun persekolahan, murid-murid dari tahun persekolahan yang lain akan ditinggalkan. Justeru, untuk memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan, guru yang terlibat perlu memilih dan merancang strategi pengajaran yang sesuai untuk menyelenggarakan bilik darjah. Namun demikian, keperluan murid juga diambil kira di mana, murid-murid Tahun 1 yang baru masuk sekolah dan memerlukan perhatian dan layanan perlu diutamakan oleh guru.
Demikian juga murid-murid Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan penting seperti UPSR. Oleh itu, kelas Tahun 1 dan Tahun 6 seeloknya tidak dicantumkan dan dijadikan kelas biasa. Namun demikian, kriteria ini tidak semestinya dapat dipenuhi oleh sekolah yang mengamalkan sistem kelas bercantum. Ia bergantung kepada pihak sekolah yang perlu memikirkan kriteria yang sesuai berdasarkan keutamaan dan keadaan sekolah itu sendiri
Selain itu, keadaan bangunan dan kemudahan-kemudahan sekolah yang mempunyai kelas bercantum biasanya kurang lengkap dan biasanya merupakan pondok-pondok kecil sahaja dengan hanya mempunyai dua atau tiga buah bilik darjah. Jika sekolah itu hanya mempunyai dua buah bilik darjah, maka kelas bercantumnya terdiri daripada murid-murid dari tiga tahun persekolahan. Manakala sekolah yang mempunyai tiga bilik darjah, kelas bercantumnya terdiri daripada murid-murid dari dua tahun persekolahan.
Sekolah-sekolah yang mengamalkan sistem kelas bercantum ini juga biasanya terletak di kawasan-kawasan terpencil yang bilangan penduduknya tidak ramai. Namun demikian, dalam tempoh PIPP ini, Kementerian Pelajaran Malaysia akan merapatkan jurang pendidikan dengan memberi tumpuan kepada fokus dan strategi pelaksanaan yang di antaranya ialah untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar seperti menambah baik Program Pembangunan Pendidikan Luar Bandar Sabah dan Sarawak, menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas, menyediakan bekalan elektrik 24 jam termasuk membekal genset berkapasiti 30-35 KVa ke sekolah pedalaman, merintis penggunaan solar hybrid dan merintis penggunaan empangan mini, menyediakan bekalan air ke sekolah, menambah baik Sekolah Kurang Murid, menilai pelaksanaan Sekolah Pusat bagi tujuan peluasan dan mewujudkan norma baru untuk guru di Sekolah Kurang Murid

No comments:

Post a Comment